Terdapat segelintir peminat melihat tindakan pelakon jelita Nur Fathia Latiff yang bersahabat baik dengan aktres Uqasha Senrose sebagai satu perkara yang kurang menyenangkan.

Malah ada kata-kata negatif yang mendakwa Fathia bakal mengikut jejak langkah Uqasha yang kembali membuka hijab.

Bertemu dengan Fathia, pelakon drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi ini mempunyai pandangan tersendiri mengenai situasi ini.

“Bagi saya, biarlah saya menjadi diri sendiri, tak perlu mengikut sesiapa. Saya cuma belajar dan mencontohi kebaikan orang lain.

“Kadang-kadang, saya sendiri rasa mahu mencontohi kebaikan yang dilakukan oleh Uqasha. Saya merupakan sahabatnya, saya tahu dia seorang yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Dia juga mempunyai peribadi yang baik dan seorang sahabat yang menyenangkan. Orang luar sahaja yang tidak tahu,” kata Fathia kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Fathia juga bakal memperluaskan lagi portfolio kerjayanya sebagai seorang usahawan dengan mengeluarkan produk terbaru.

“Selepas percubaan saya dalam bidang perniagaan menerusi jenama tudung Dara by Fathia Latiff mendapat respon positif, saya juga akan mengeluarkan dua produk terbaru, Guzel dan Speedy Balm.

“Saya juga akan mengeluarkan filem pendek tersendiri untuk memasarkan produk saya. Apa yang penting, saya bukan sahaja memasarkan produk menerusi filem pendek tersebut, saya juga menyelitkan mesej-mesej positif untuk orang melihatnya,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017) pada Selasa.

AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!

Teks oleh: Kamaruddin Razal