Bintang Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Ara Johari bersyukur kerana single pertamanya, Warkah Untukku kian mendapat perhatian peminat.

Sering diputarkan di corong radio, lagu tersebut dilihat lebih popular berbanding lagu Pemilik Cinta nyanyian Amir, juara AF 2016.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur apabila lagu Warkah Untukku mendapat perhatian peminat dan sering diputarkan di corong radio. Saya rasa sangat gembira apabila peminat menyukai lagu tersebut.

“Jika ada beranggapan lagu saya lebih popular berbanding lagu juara AF 2016, saya sendiri rasakan itu adalah rezeki masing-masing. Mungkin saya tiada rezeki untuk bergelar juara tetapi rezeki saya di luar, menerusi lagu Warkah Untukku.

“Apa yang penting adalah saya harus berusaha untuk mempromosikan lagu ini sebaik mungkin dan saya harus bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik bagi peminat di luar sana,” kata Ara kepada Astro Gempak.

Tidak terlampau gembira dengan perkembangan kerjayanya dalam bidang muzik, Ara rasa bertuah kerana berpeluang menyanyikan lagu ini.

“Saya tak boleh rasa gembira kerana saya masih lagi baru. Banyak lagi perkara yang perlu saya usahakan untuk menapak dalam indistri muzik ini. Saya berharap semua berjalan lancar dan kerjaya saya semakin berkembang.

“Sejujurnya, saya rasa bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan Hang Nadim ini. Lagu ini ibarat satu salam perkenalan yang manis untuk saya kepada peminat di luar sana,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017) pada Selasa.

AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!

Teks oleh: Kamaruddin Razal