Pelawak Abam (Bocey) merancang ingin mengeluarkan pakaian jenama sendiri kerana sukar untuk mencari saiz baju untuk dipakai.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd, 29, berkata, bentuk fizikal yang besar telah memberikan dia idea untuk keluarkan baju kepada orang ramai yang mempunyai masalah sepertinya.

"Saya sebenarnya mempunyai masalah untuk mencari saiz baju seperti orang lain kerana saiz saya agak sukar untuk di jumpai.

"Cuma ada beberapa kedai tertentu sahaja yang ada menjual baju bersaiz besar dan kadang-kadang tidak mempunyai corak yang menarik untuk dipakai.

"Jadi saya merancang untuk keluarkan pakaian jenama sendiri supaya ia memudahkan orang berbadan seperti saya ini mendapatkan baju dengan pelbagai saiz dan corak untuk dipakai.

"Buat masa sekarang perkara tersebut masih dalam perbincangan mungkin saya akan keluarkan pakaian itu dalam masa terdekat ini," katanya kepada Astro Gempak.

Abam ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi