Selepas dua minggu bergelar ibu, isteri pelawak Shahrol Shiro mendedahkan nama bayi lelaki mereka di akaun Instagram (IG) miliknya, @anna_dalisha.

Shahrol dan isteri memilih untuk menamakan bayi sulung mereka yang dilahirkan pada 8 Februari lalu sebagai Iskandar Rizqi.

Menerusi foto yang dimuat naik malam semalam, isteri Shahrol, Nor Farhanah Syamimi, 27, turut mengucapkan terima kasih kepada suaminya itu kerana sentiasa berada disisinya sepanjang proses kelahiran, walaupun tidak dibenarkan masuk ke bilik bersalin kerana bayi mereka lahir pra matang.

Iskandar Rizqi, dilahirkan secara normal di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, Johor.

Menurut Shahrol, Iskandar Rizqi dilahirkan pra matang ketika kandungan Farhanah berusia 35 minggu, dengan berat hanya 2.1 kilogram.

Mengikut jangkaan doktor, Farhanah sepatutnya bersalin pada pada 15 Mac ini.

Tambah Sharol, dia bercadang untuk membesarkan Iskandar Rizqi di kampung halamannnya, Kluang, Johor.

“Saya dan isteri berasal dari sini dan selepas berkahwin kami memang tinggal di sini (Kluang). Rumah ibu saya dan mertua hanya 10 kilometer saja jaraknya.

“Saya juga bercadang untuk membesarkan bayi kami di kampung kerana lebih selesa menetap di kampung berbanding Kuala Lumpur,” katanya kepada Astro Gempak.

Untuk makluman, bayi yang baru dilahirkan ini merupakan anak kedua bagi Shahrol dan pertama bagi Anna. Sebelum ini, Shahrol pernah dikurniakan anak lelaki, Muhd Adam hasil perkahwinan terdahulu. Shahrol berkahwin dengan Anna pada 18 Mac 2016.

Dalam perkembangan lain, Shahrol dan Ajak (Kumpulan Shiro) bakal beraksi di minggu kedua pentas Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) bersama 14 kumpulan lain di Royal Teater, Shah Alam.

MLM 2017 bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).