Seringkali membawakan karakter komedi di kaca televisyen dan filem, pelakon Azad Jazmin enggan dilabel sebagai pelawak dan mengelak daripada menyertai pertandingan lawak.

"Saya akui saya sering bawa watak komedi. Saya bersyukur kerana penonton suka dan menerima perkara tersebut dengan baik.

"Namun begitu, saya tak mahu orang labelkan saya sebagai pelawak. Sebolehnya, saya mahu mengelakkan diri saya daripada menyertai program atau pertandingan yang berkaitan dengan lawak. Saya mahu menjadi pelakon yang mampu membawakan pelbagai karakter," kata Azad.

Dalam perkembangan terbaru, Azad juga mendedahkan yang dia bakal memasuki set penggambaran filem Polis Evo 2.

"Saya bakal membawakan satu watak dalam filem Polis Evo 2. Penggambaran akan bermula pada Mei ini.

"Berbeza dengan watak lawak yang sering saya jayakan, filem ini akan menyaksikan saya membawakan karakter seorang anggota polis yang berpenampilan serius dan tegas," katanya lagi.

Filem lakonan Azad, J Revolusi akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac 2017. Selain Azad, J Revolusi turut menbariskan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Fazura, Farid Kamil dan Izara Aishah.

Sumber: Kosmo
Olahan oleh: Kamaruddin Razal