Berikutan persembahan kumpulan Zero pada minggu pertama Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang menyinggung perasaan masyarakat Iban, pihak produksi memohon maaf.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh menerusi sebuah kenyataan, mewakili pihak produksi MLM2017 memohon maaf kepada semua yang terkesan khususnya masyarakat Iban.

"Persembahan yang bertujuan untuk menonjolkan keunikan tarian Sarawak dan seni sumpit telah terganggu akibat ketidakpekaan mengenai kebudayaan tradisional kaum Iban.

"Pihak kami memandang serius akan perkara ini dan akan lebih peka dengan setiap persembahan yang bakal disampaikan di pentas Maharaja Lawak Mega.

"Terima kasih kepada semua penonton yang terus memberi sokongan padu kepada program ini", katanya.

Isu mula timbul apabila persembahan Zero di minggu pertama telah menjadi viral di sosial media dan dikatakan menyinggung perasaan masyarakat negeri Sarawak.

Pakaian tradisional yang dipakai ahli kumpulan Zero, Syaiful mencetus kemarahan netizen.