Pelakon Hairul Azreen mendedahkan dia terpaksa menonton drama korea, Autumn In My Heart untuk ambil mood sedih serta mengalirkan air mata ketika berlakon.

Hairul berkata drama itu menjadi rujukan ketika dia mula-mula menceburi bidang lakonan.

"Saya tidak pernah mengambil kelas lakonan. Ketika awal pembabitan dalam dunia lakonan, saya ditawarkan untuk berlakon filem Pak Pong dan saya perlu banyak menangis dalam filem ini.

"Jadi, apa yang saya buat ialah, saya tengok drama Autumn In My Heart berulang kali untuk mengambil mood sedih kerana drama ini amat menyentuh hati dan banyak kali buat saya menangis.

"Ketika itu, saya bayangkan seperti kita kehilangan orang tersayang.

"Saya gembira kerana percubaan saya menjadi dan saya berjaya mengalirkan air mata ketika berlakon dalam filem ini.

"Tetapi kini, lakonan saya sudah semakin baik dan boleh membawa mood sedih dengan sempurna," katanya kepada Astro Gempak.

Penggambaran filem Pak Pong yang dijalankan pada tiga tahun lalu itu menampilkan Hairul sebagai bintang utama bernama Muda.

"Bahagian paling sedih dalam filem ini apabila saya terima berita yang mengejutkan apabila pulang dari alam bunian dan mendapati isteri saya bersama seseorang.

"Dalam scene ni, saya berjaya mengalirkan air mata secara semula jadi," katanya lagi.

Selain Hairul Izreen, Pak Pong turut menampilkan beberapa pelakon lain antaranya Siti Saleha, Datuk Eizlan Yusof, Kazar dan Marsha Milan Londoh.

Filem arahan Fauzi Nawawi itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 23 Februari ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal