Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Danial, mengakui takut untuk bertemu dengan Datuk Chef Wan.

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, mengakui tergamam apabila pertama kali bertentang mata dengan idolanya itu.

Tambah Danial dia tidak tahu akan ditemukan dengan Chef Wan menerusi slot istimewa ramalan dan debat MLM 2017, 9.30 malam diterajui oleh Angah Raja Lawak.

"Ini merupakan kali pertama saya bertemu dengan Chef Wan, kerana sebelum ini saya cuma meniru aksi dan gayanya dengan lawak jenaka yang lakukan di atas pentas.

"Sudah semestinya tergamam kerana saya telah lama menyimpan hasrat untuk bertemu dengan dia sejak dahulu lagi.

"Pada awalnya saya takut untuk bercakap dengannya kerana risau dia akan marah saya kerana meniru cara percakapannya di atas pentas.



"Namun selepas memulakan perbualan, saya tidak sangka Chef Wan tidak kisah saya meniru gayanya untuk dijadikan bahan jenaka asalkan personaliti seseorang itu tidak ditokok tambah dan dilakukan dengan betul,” katanya kepada Astro Gempak.

Program debat dan ramalan akan turut disiarkan secara langsung selama 12 minggu sepanjang MLM 2017 bersiaran.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi