Pelakon Siti Saleha akui pemilihan watak merupakan elemen penting yang perlu diteliti sebelum menerima tawaran berlakon.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 27, berkata dia perlu bijak memilih watak untuk memastikan lakonannya sentiasa konsisten.

“Sebagai seorang pelakon saya tidak mahu sekadar menerima tawaran hanya kerana bayaran yang ditawarkan.

“Bagi saya, tahap lakonan dan juga watak dibawakan sangat penting kerana penonton yang akan menilai kredibiliti kita sebagai pelakon.

“Saya mahu lakonan saya sentiasa nampak konsisten dan sejujurnya saya selesa dengan kedudukan saya setakat ini, biarlah lambat naik asalkan saya puas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas mengenai lakonan, Saleha memberitahu mengelak daripada mengambil dua tawaran sekaligus.

“Saya memang suka fokus kepada satu drama sahaja, tak mahu ambil risiko buat dua kerja kerana mahu berikan yang terbaik untuk lakonan saya.

“Itu merupakan antara perkara yang saya titik beratkan sebab ekspresi wajah ketika berlakon memang jelas kelihatan di kaca televisyen.

“Saya tidak mahu wajah saya nampak penat kerana itu akan merosakkan kualiti lakonan saya,” jelasnya.

Teks oleh: Mya Amri