Pelakon Fasha Sandha mengakui belum bersedia untuk melancarkan produk jenama sendiri kerana kekangan masa.

Fasha Sandha, 33, berkata, kesibukannya menyebabkan dia sukar untuk memberi komitmen sekiranya memiliki produk sendiri.

"Untuk masa sekarang biarlah saya fokus menguruskan perniagaan salun Chinta yang sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.

"Ini kerana sebagai peniaga saya perlu untuk memberi fokus yang lebih bagi memastikan pelanggan mempercayai produk atau servis yang ditawarkan kepada mereka.

"Jika saya ada dua atau tiga bisnes sekalipun namun saya sendiri sukar memberi komitmen untuk turun padang membuat promosi, tak guna juga.

"Jadi buat masa sekarang biarlah saya fokus menjadi duta untuk beberapa produk dahulu kerana saya tidak mempunyai apa-apa rancangan menghasilkan barangan jenama sendiri," katanya.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta Rumah Kebaya, di Bangsar, baru-baru ini.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi