Selepas kejayaan drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot, pengacara Neelofa dan aktor Fattah Amin dikatakan bakal menjayakan drama bersiri terbaru yang berjudul Hero Seorang Cinderella.

Namun begitu, pengacara rancangan MeleTop ini mengesahkan yang dirinya tidak akan menjayakan drama bersiri tersebut.

"Sebelum ini, saya sudah maklumkan kepada pihak Astro, pengarah Michael Ang dan tenaga produksi yang saya memang telah bersetuju untuk menjayakan drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

"Atas sebab-sebab tertentu, saya mengalah dah tidak akan membintangi drama bersiri tersebut.

"Ingin saya tegaskan, bukannya saya tidak mahu, awal-awal lagi saya telah menyatakan persetujuan saya. Namun begitu, atas sebab tertentu, saya terpaksa mengalah dan tidak dapat berlakon dalam drama bersiri tersebut," kata Neelofa kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya apakah sebab sebenar yang membuatkan dirinya mengalah dan tidak membintangi drama bersiri tersebut, Neelofa mengunci mulut dan tidak memberikan penjelasan lanjut.

"Saya tak boleh beritahu. Kalau nak tahu apakah sebabnya, kena tunggu pihak stesen atau tenaga produksi sendiri untuk memberikan penjelasan," katanya ketika majlis perlantikan Neelofa sebagai duta kondominium Flora Rosa PJ Homes di Cruise Tasik Putrajaya pada Sabtu.

Teks oleh: Kamaruddin Razal