Peserta baru Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Mad Sabah, berjanji akan lebih kreatif selepas menerima undian tertinggi Gempak Man of The Match (GMOTM) di minggu pertama.

Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 29, berkata, kemenangannya pada minggu pertama ini menjadi pembakar semangat untuk melakukan persembahan lebih baik pada minggu seterusnya.

"Secara jujurnya memang saya tidak menyangka akan mendapat piala GMOTM pada minggu ini kerana persembahan saya bukan yang terbaik.

"Bagaimanapun gelaran GMOTM pertama ini akan menjadikan pembakar semangat untuk saya supaya lebih kreatif dalam persembahan akan datang.

"Saya juga tidak mahu mengecewakan mereka yang telah mengundi kerana sudah tentu pengundi mengharapkan 'sesuatu' yang lebih daripada saya," katanya.

Akui Mad, terpilih sebagai GMOTM sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya, kerana membawa harapan peminat.

"Bohong kalau saya kata tidak tertekan kerana orang akan bercakap mengenai perkara ini.

"Mereka undi saya, itu bermaksud mereka mengiktiraf persembahan saya dan meletakkannya pada satu tahap.

Selain Mad, peserta lain yang turut memberi saingan hebat sebagai penerima GMOTM minggu ini ialah Danial, Shahrol Shiro, Abam Bocey, Dzawin, Ajak Shiro, Atu Zero, Mamak Puteh, Tauke dan Fad Bocey.

Undian GMOTM akan dibuka setiap Jumaat sebaik sahaja peserta memulakan persembahan dan undian secara online boleh dilakukan di laman web www.astrogempak.com.my

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi