Pelakon jelita Nur Fazura mengakui bimbang sekiranya berlaku kecederaan ke atas dirinya ketika menjayakan filem aksi terbarunya, J Revolusi.

Menerusi filem tersebut, Fazura membawakan watak Dian Zulkarnain yang merupakan kakak kepada Jay Zulkarnain, seorang ahli Unit Tindakan Khas (UTK) lakonan Zul Ariffin.

Konflik bermula apabila Dian yang juga seorang ejen ditangkap oleh pengganas misteri yang diketuai oleh Andra (Farid Kamil).

“Bagi saya, cabaran yang saya harus hadapi dalam menjayakan filem ini ialah untuk melakonkan babak-babak aksi. Ketika saya menjalani penggambaran filem tersebut, pada masa yang sama, saya turut ada komitmen kerjaya di Indonesia.

“Saya takut diri saya mengalami kecederaan berat dan perkara tersebut bakal mengganggu komitmen kerjaya di Indonesia. Namun begitu, saya bersyukur semuanya berjalan lancar.

“Saya tidak mengalami sebarang kecederaan berat atau serius ketika menjayakan babak-babak aksi serta lasak dalam filem ini, Alhamdulillah,” kata Fazura kepada Astro Gempak.

Tambah Fazura, dia tidak serik untuk berlakon dalam filem aksi dan teringin untuk menjayakan mana-mana karakter aksi yang bersesuaian selepas ini.

“Saya tak serik malah saya sendiri rasa enjoy berlakon dalam filem ini. Jika ada peluang, saya teringin bawa watak sebegini sekali lagi dan berharap agar lebih banyak lagi aksi yang dimuatkan dalam karakter akan datang,” katanya lagi.

Selain Fazura, filem J Revolusi yang turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Farid Kamil dan Izara Aishah. Filem ini akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal