Penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi menjelaskan dirinya tidak kisah jika dibandingkan dengan Yuna.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 30, berkata, kagum dengan kejayaan dikecapi Yuna dan itu membuatkan dia bekerja lebih keras dalam menghasilkan muzik.

"Sudah semestinya ramai orang yang membandingkan saya dengan Yuna namun perkara itu tidak langsung menjadi tekanan kepada saya.

"Saya dan Yuna merupakan penyanyi serta penulis lirik daripada Malaysia, jadi sudah semestinya akan ada orang yang membandingkan kejayaan kami.

"Sebenarnya saya amat kagum dengan kejayan yang dimiliki oleh Yuna kerana dia merupakan seorang artis yang kuat bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Zee memberitahu dia gembira apabila kejayaan yang dimiliki oleh Yuna telah mengharumkan nama Malaysia di Amerika Syarikat.

"Saya sangat berbangga kerana masyarakat luar mula nampak kebolehan dan bakat penyanyi dari Malaysia.

"Tanggungjawab kami juga berat kerana perlu menjaga nama baik negara selain mengharumkan nama Malaysia di mata dunia," jelasnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi