Ratu rock negara, Ella menasihatkan peserta yang bakal hadir ke ujibakat program realiti Rockanova supaya mempunyai identiti sendiri.

“Pada saya, perkara yang penting adalah jadi diri sendiri, tidak perlu meniru mana-mana gaya atau cara nyanyian penyanyi lain.

“Lagi satu, jangan malu-malu bila berhadapan dengan juri. Bakat yang ada itu keluarkan. Mungkin benda yang ada pada diri kita tidak ada pada orang lain.

“Kalau tak keluarkan nanti rugi, bila lagi kita nak tunjuk bakat dan dinilai oleh juri profesional,” katanya ketika diminta mengulas mengenai program berkenaan.

Dalam pada itu, Ella juga menyatakan hasrat untuk menonton rancangan berkenaan jika mempunyai masa terluang.

“Kepada para perserta yang ingin menjadi penyanyi rock, buat yang terbaik dan jadilah penyanyi yang berkualiti.

“Bagi saya program ini sangat menarik, teruja pula rasanya. Insha Allah, kalau ada kelapangan saya akan menonton dan beri sokongan kepada mereka,” ujarnya.

Ujibakat Rockanova akan diadakan pada 18 dan 19 Februari ini bertempat di Anggerik Mall, Shah Alam.

Teks oleh: Mya Amri