Filem: Surga Yang Tak Dirindukan 2

Pelakon: Feri Nuril, Laudya Cynthia Bella, Raline Shah, Reza Rahadian, Nora Danish

Pengarah: Hanung Bramantyo, Meisa Felaroze

Genre: Drama

Durasi: 120 minit

Penerbit: MD Production

Tarikh Tayangan: 16 Februari 2017

Selepas mencipta sejarah tersendiri dalam industri perfileman di Indonesia dua tahun lalu, filem Surga Yang Tak Dirindukan (SYTD) kini menemui penonton di Malaysia menerusi sekuel keduanya, SYTD 2.

Filem yang diangkat dari novel Asma Nadia itu telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini, 16 Februari.

SYTD 2 berkisarkan tentang hidup berpoligami, serta pengorbanan seorang isteri untuk menerima kehadiran wanita lain.

Konflik yang ditonjolkan pengarah menerusi SYTD 2, dilihat sampai kepada penonton sehinggakan bengkak mata akibat menangis jelas kelihatan selepas keluar panggung.

Semuanya gara-gara lakonan Laudya Cynthia Bella yang sangat bersahaja menyebabkan penonton merasai pengorbanannya sebagai seorang isteri yang dimadukan bernama Citra Arini.

Pujian juga harus diberikan kepada Feri Nuril (Prasetya), Raline Shah (Meirose), Reza Rahadian (Doktor Syarief) serta pelakon terkenal Malaysia, Nora Danish (Sheila) kerana berjaya membawa watak yang diberikan dengan baik.



Filem yang mendapat sentuhan pengarah Hanung Bramantyo ini, bukan sekadar berjaya menjentik perasaan penonton menerusi jalan ceritanya yang indah, malah isu poligami yang diketengahkan juga digarap sempurna.

Apa yang boleh penulis katakan, SYTD 2 sarat dengan mesej yang berguna buat penonton.

Lebih menarik lagi selain mengangkat kehidupan poligami, SYTD 2 juga memaparkan tentang keihklasan dan pengorbanan serta lebih dramatik berbanding sekuelnya yang terdahulu.

Selain itu, filem ini turut disempurnakan dengan alunan muzik dan lirik yang dihasilkan oleh komposer terkenal Melly Goeslaw dan Anto Hoed.

Lagu nyanyian Kris Dayanti berjudul ‘Dalam Kenangan’ dan lagu ‘Surga Yang Kurindukan’ yang dinyanyikan oleh pelakon utamanya sendiri, Laudya Cynthia Bella dan Warda menyempurnakan SYTD 2.

Sinopsis
Filem SYTD2 mengisahkan tentang sepasang suami isteri Pras (Fedi) dan Arini (Bella) kembali meneruskan kehidupan bersama puteri mereka, Nadia (Sandrina) setelah isteri kedua Meirose (Raline) membawa diri.

Arini mendapat undangan ke Budapest, Hungaria untuk mempromosikan bukunya. Tanpa diduga, takdir menemukan mereka sekeluarga bersama Meirose dan anaknya Akhbar (Keefe). Pemergian Meirose bersama Akhbar dahulu adalah untuk mula hidup baru demi melupakan masa lampau yang hampir menghancurkan rumahtangga Arini.

Meskipun Meirose masih menyanjung dan menyintai Pras, tetapi dia tekad untuk diceraikan. Namun, pertemuan semula dengan Arini membuatkan dia berbelah bahagi kerana wanita mulia itu mengharapkan Meirose kembali ke pangkuan Pras.

Malah, kehadiran Doktor Syarief (Reza) dalam hidup Meirose turut menimbulkan tanda tanya. Apakah kesudahan kisah mereka? Sejuta pertanyaan dan kejutan akan mewarnai SYTD2.

Kepada yang belum pernah menonton bahagian pertama SYTD atau terlepas ulangannya baru-baru ini, boleh menontonya menerusi portal Astro Gempak.