Semenjak Januari lalu, pelakon drama bersiri Assalamualaikum Cinta, Saharul Ridzwan mengalami alahan seperti loya dan muntah.

Isteri Saharul, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir kini sedang hamil anak pertama mereka dan kandungan tersebut sudah memasuki usia empat bulan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kehamilan isteri dan keadaan anak dalam kandungan sihat. Namun begitu, saya sendiri kadang-kadang terasa loya dan muntah.

“Perkara itu mungkin terjadi kerana alahan sewaktu kehamilan. Tetapi apa yang saya alami setakat ini masih boleh dikawal dan tidak terlalu teruk,” kata Saharul.

Tambah Saharul, dia memilih untuk tidak menjayakan watak yang memerlukan dia berjauhan dengan isteri yang sedang sarat hamil.

“Saya rasa bersyukur kerana isteri saya memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon. Sebagai suami, saya enggan berjauhan dengan isteri kerana dia sedang sarat hamil.

“Kami juga selalu berdoa agar bayi yang bakal dilahirkan kelak akan sihat dan cukup sifat serta membesar menjadi anak yang soleh,” kata Saharul lagi.

Sumber: Mstar Online.