Penyanyi dan komposer muda, Ippo Hafiz membahagiakan masa antara bidang nyanyian dan penciptaan lagu.

Pernah mencuba untuk menembusi bidang muzik sebagai seorang komposer, usaha Ippo pada awalnya tidak menunjukkan sebarang reaksi positif.

“Sejujurnya, saya mahu dikenali sebagai komposer. Namun begitu, percubaan saya untuk menempatkan diri sebagai komposer tidak berjaya. Beberapa lagu yang saya ciptakan kurang mendapat perhatian.

“Selepas itu, saya cuba untuk menjadi seorang menyanyi dan akhirnya, percubaan saya membuahkan hasil. Saya berjaya menempatkan diri dalam bidang hiburan menerusi lagu tema drama bersiri Teman Lelaki Upahan yang berjudul Rahsia.

“Saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang nyanyian datang terlebih dahulu. Kini, usaha saya dalam bidang penciptaan lagu juga telah membuahkan hasil.

“Lagu ciptaan saya untuk penyanyi baru, Irfan Haris yang berjudul Redha mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Lagu tersebut menjadi lagu tema bagi drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot dan mendapat hampir 10 juta tontonan di laman YouTube.

“Selepas ini, saya akan membahagikan masa antara bidang nyanyian dan penciptaan lagu. Selagi mendapat permintaan, selagi itu saya akan mengusahakan sehabis daya,” kata Ippo kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Ippo bakal muncul dengan single terbaru yang berjudul Dia Untukku. Lagu tersebut bakal menjadi lagu tema untuk filem baru terbitan Astro Shaw, Kimchi Untuk Awak.

“Jika sebelum ini saya banyak menciptakan lagu tema untuk drama bersiri, kali ini lebih istimewa kerana saya menciptakan lagu tema untuk filem. Saya menyanyikan sendiri lagu ini dan saya bergandingan bersama Leo Azman dan Rudy Nastia untuk menciptakan lagu ini

“Saya berharap percubaan saya untuk menciptakan lagu runut bunyi filem membuahkan hasil seperti lagu tema drama bersiri sebelum ini,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang yang menggandingkan pelakon hebat seperti Aiman Hakim Ridza, Emma Maembong, Janna Nick dan ramai lagi bermula 30 April ini di pawagam seluruh Malaysia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal