Pelakon Fattah Amin menjelaskan, harga buku ’99 Kata-Kata Fattah Amin’ setimpal dengan penggunaan kertas berkualiti tinggi dan grafik yang eksklusif.

Selain itu menurut Fattah, buku berharga RM58 itu turut memuatkan cakera padat single lagu terbaharu beliau berjudul, Wanita Terakhir.

Fattah mengulas tentang perkara tersebut selepas dikiritik hebat dan bukunya dijadikan bahan lawak serta topik utama perbualan sebaik saja ia dilancarkan.

Kebanyakan netizen menganggap selain kandungannya yang terlalu santai, harga buku itu juga dianggap mahal.

Bagaimanapun menurut laporan BH Online, Fattah enggan mengambil pusing segala kritikan termasuk daripada teman artis berkaitan buku tulisannya yang baru dilancarkan dua hari lalu.

Kata Fattah, niatnya hanya satu iaitu berkongsi semangat dan kata-kata positif mengenai jatuh bangun dalam kehidupan dalam buku tersebut.

"Saya sedang sibuk di lokasi penggambaran. Satu dari saya, setiap orang ada penilaian dan pemahaman tersendiri.

"Setiap kata-kata mempunyai maksud tersirat dan setiap orang yang membaca ada imaginasi tersendiri mengenainya," katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu sedar buku berkenaan turut berpesan supaya seseorang itu tidak mudah lupa diri dan sentiasa ingat asal usul.

"Tidak kira siapapun kita, jangan cepat lupa diri, apatah lagi bersikap sombong. Kita wajar selalu ingat siapa diri kita," katanya.

Mengulas lanjut, Fattah menganggap semua yang terjadi ketika ini adalah di luar kawalannya dan tidak mahu memanjangkan atau memperbesarkan isu berkenaan.

"Saya anggap semua ini sebagai dugaan buat saya. Selain itu, saya memilih untuk berdepan dengannya setenang yang mungkin," katanya.

Buku tulisan aktor berusia 26 tahun itu mendapat maklum balas yang pelbagai dan menjadi bualan hangat netizen, sejak kelmarin.

Sumber: BH Online