Salah seorang anggota kumpulan K-pop, Varsity, Manny tidak boleh menjamah sebarang makanan kerana dia merupakan seorang muslim.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh anggota kumpulannya dalam satu temubual program Music Bank menerusi segmen Spotted At Music Bank baru-baru ini.

“Ada seorang ahli kumpulan kami tidak boleh makan daging babi, dia adalah Manny kerana dia merupakan seorang muslim,” kata ahli kumpulan berkenaan.

Manny yang berdiri di bahagian hujung sebelah kiri kemudiannya menganggukkan kepalanya tanda setuju.

“Makanan yang saya boleh makan adalah seperti telur dan ayam,” ujarnya yang berasal dari China.

Dengan pengakuan Manny itu sekaligus menjadinya dirinya penyanyi K-Pop pertama yang beragama Islam.

Kumpulan Varsity yang diperkenalkan pada 3 Januari lalu dianggotai oleh 12 orang anak muda iaitu Kid, YoonHo, Anthony, Bullet, Damon, Xin, XiWeol, DaWon, SeungBo, JaeBin, Manny, and RiHo.

Dalam pada itu, sebaik saja video temubual itu menjadi viral di media sosial, nama Manny mula menjadi sebutan dikalangan peminat K-pop yang beragama Islam.

Rata-ratanya memberi komen positif dan kagum Manny yang menjaga pemakanannya sebagai seorang muslim.

Sementara itu, menerusi posting terbaru akaun Twitter rasmi kumpulan tersebut pada 11 Februari lalu, Manny turut menyapa peminatnya dengan kapsyen “Assalamualaikum,”.



Teks oleh: Mya Amri