Juara Lawak Solo musim pertama, Danial, mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai jurufoto untuk memberi fokus sebagai seorang pelawak.

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, berkata, dia mengambil keputusan itu selepas berbincang dengan keluarganya.

"Menjadi seorang pelawak dan menghiburkan orang merupakan minat saya sejak dahulu lagi.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk tingalkan kerjaya saya sebagai seorang jurufoto untuk bergelar seorang pelawak sepenuh masa.

"Alhamdulillah keputusan yang saya lakukan ini mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang lain setelah berbincang dengan mereka.

"Namun selepas membuat keputusan berhenti daripada kerja lama, saya telah mendapat tawaran untuk menjadi penyampai radio Era FM selama dua tahun untuk mengendalikan segmen Solo di Era FM," katanya kepada Astro Gempak.

Danial ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini, Rabu.

Danial bakal berada di pentas MLM 2017 sebagai peserta solo bersama Mad Sabah dan Dzawin dari Indonesia.

Antara kumpulan pelawak yang bakal berentap untuk musim ke-6 program tersebut adalah Joras yang dianggotai oleh Shuk (SYJ), Rahim (R2) dan Joey (Jalor), Xoxo (Wan, Wan Gegau dan Chot), Nice (Ropie, Achong dan Tauke), Zero (Atu,Shariff dan Syaiful) dan Mamu (Ajo dan Abu).

Peserta lain yang turut terlibat adalah Shiro (Sharol dan Ajak), Pistol (Ag Hafiz dan Raja Azri), Puteh (Mamak dan Ali) dan Bocey (Abam, Fad dan Achey).

Manakala kumpulan pelawak dari Indonesia adalah Abioso (Amin, Sarip dan Mamad).

Sementara itu, kumpulan pelawak dari Indonesia, Malaysia dan Singapura adalah Masin (Mamat, Vicha dan Jiggy) dan Hobit (Amir, Bocil dan Din) gambungan dari Malaysia dan Indonesia.

MLM 2017 bakal bersiaran selama 12 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 17 Februari ini dan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi