Pelawak Amir terpaksa menghentikan perniagaan roti bakarnya buat sementara waktu kerana sibuk dengan kerja.

"Perniagaan okay tapi saya terpaksa hentikan sekejap sebab sibuk.

"Sudah hampir dua bulan kedai itu tidak beroperasi. Dulu memang ada ambil pekerja tapi malangnya bila saya cuti, dia pun nak cuti sama. Mana boleh kan?

"Jadi saya ambil keputusan untuk tutupkan saja buat sementara waktu," katanya ketika ditemui Astro Gempak pada sidang media Maharaja Lawak Mega 2017 bertempat di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, petang tadi.

Dalam pada itu, Amir juga memberitahu dia selesa mengurus perniagaannya sendiri kerana mahu memastikan kualiti makanannya tidak terjejas.

"Saya sebenarnya kalau boleh tak mahu orang uruskan, lebih baik saya buat sendiri.

"Tapi apakan daya, kerana terlalu sibuk saya terpaksa mengambil pekerja. Mungkin ini rezeki berkahwin.

"Bukan apa, saya nak uruskan sendiri sebab saya mahu pastikan kualiti makanan saya sama.

"Kalau pelanggan makan dan beri maklum balas positif saya rasa gembira," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amir terlibat dalam program Maharaja Lawak Mega 2017.

Amir bersama dua lagi pelawak lain iaitu Din dan Bocil menubuhkan sebuah kumpulan bernama Hobit.

MLM 2017 bakal bersiaran selama 12 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 17 Februari ini dan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks oleh: Mya Amri