Pelawak dan pelakon Douglas Lim mendedahkan berlakon dalam Bahasa Melayu menjadi cabaran untuknya dalam menjayakan filem Soulmate Hingga Jannah.

"Pada mulanya, menjadi satu masalah bagi saya kerana saya harus berdialog dalam Bahasa Melayu dalam filem ini. Perkara tersebut menjadi satu cabaran kerana ini merupakan penampilan pertama saya menuturkan banyak dialog Bahasa Melayu dalam sebuah filem. Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya.

"Akhirnya, cabaran tersebut dapat saya tempuhi dengan jayanya. Berkat dorongan pengarah, rakan pelakon dan krew, saya berjaya membawakan watak Jackie yang bercakap dalam Bahasa Melayu menerusi filem Soulmate Hingga Jannah," kata Douglas kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Douglas turut mendedahkan yang faktor cuaca turut menjadi cabaran besar buat dirinya dan tenaga produksi sepanjang menjalankan penggambaran di Chiang Mai, Thailand.

"Cuaca di Chiang Mai memang mencabar semua tenaga kerja filem Soulmate Hingga Jannah. Bayangkan, jika semalam cuaca panas dan bersuhu 30 darjah selsius, keesokan harinya berubah dengan drastik.

"Cuaca turun mendadak kepada enam darjah selsius. Kami menyaksikan ada burung yang mati kerana perubahan cuaca yang sangat melampau," kata Douglas lagi.

Selain Douglas, filem Soulmate Hingga Jannah turut dibintangi oleh Taufik Batisah, Erra Fazira, Raja Ilya, Reen Rahim dan ramai lagi.

Filem Soulmate Hingga Jannah terbitan FiTA Studios ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 16 Februari 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal