Lagu duet nyanyian Syamel dan Ernie Zakri meraih tontonan lebih 130,000 selepas dua hari dilancarkan di laman YouTube.

Syamel dan Ernie Zakri bergabung suara menyanyikan sebuah lagu duet baru berjudul Aku Cinta, ciptaan sepenuhnya oleh Syamel.

“Alhamdulillah, jumlah tontonan yang diterima selepas dua hari dilancarkan sangat positif. Walaupun belum diputarkan di corong radio, lagu ini sudah mula diperkatakan di laman sosial Twitter.

“Saya melihat ini sebagai satu petanda peminat menerima kehadiran kami sebagai pasnagan duet dengan baik. Saya mengambil masa beberapa jam untuk merakamkan lagu ini manakala Syamel pula menghabiskan lebih banyak masa di studio rakaman untuk kerana lagu ini merupakan lagu ciptaannya sendiri.

“Saya juga menangguhkan dahulu rakaman lagu solo saya yang dicipta oleh Tam Spider bagi memberikan fokus terhadap lagu duet saya bersama Syamel. Saya berharap lagu ini akan terus mendapat perhatian peminat dan menjadi lagu hits untuk tahun 2017,” kata Ernie kepada Astro Gempak.

Tambah Syamel, lagu ini bercerita mengenai sepasang kekasih yang patah hati namun masih menyimpan perasaan sayang.

“Lagu ini bercerita mengenai pasangan kekasih yang sudah berpisah tetapi kasih sayang itu masih lagi bersisa. Saya mencipta lagu slow ballad dan membayangkan orang yang mendengar lagu ini boleh turut menari bersama.

“Jumlah tontonan tersebut menjadi catatan peribadi yang baik buat saya dan saya berharap kejayaan saya dan Ernie di Duo Star dapat dipanjangkan lagi selepas ini. Saya mempunyai impian untuk melihat lagu ini bertanding di majlis-majlis anugerah, Insya-Allah,”

Dinobatkan sebagai juara Duo Star sekaligus menewaskan tiga pasangan lain, Ernie dan Syamel menyampaikan lagu Balqis nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza dan lagu Kau Lupa Janji nyanyian Datuk Jamal Abdillah di konsert akhir Duo Star.

Duo Star yang bersiaran pada setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria HD (104) dan Ria HD diacarakan oleh Datuk AC Mizal.

Kesemua peserta Duo Star dinilai oleh juri tetap, Datuk Acis, Adibah Noor dan Datuk Hattan. Keputusan pemenang adalah 100 peratus berdasarkan sistem permakahan juri.

Teks oleh: Kamaruddin Razal