Penyanyi Misha Omar akui menyusukan anak adalah satu pengorbanan besar kepada wanita yang bergelar ibu.

Misha berkata, walapun jadual hariannya padat dia tetap komited dengan waktu penyusuannya walaupun terpaksa keluar bekerja.

"Saya belajar banyak benda selepas menjadi ibu dan menyusukan anak saya sendiri.

"Menyusukan anak ini memerlukan komitmen yang tinggi. Meskipun saya sibuk dengan kerjaya seni, namun saya tetap mencari masa untuk mengepam susu bila berjauhan dengan anak.

"Jadi saya lihat ia memang pengorbanan besar sebagai seorang ibu yang bekerjaya seperti saya," katanya kepada Astro Gempak.

Pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu melahirkan bayi sulungnya, Idris Ezzwa pada 25 Ogos lalu.

Berkongsi tips menyusu bayi, Misha memberitahu dia selalu menjaga pemakanan untuk menghasilkan susu yang berkualiti dan banyak.

"Bagi saya senang sahaja jika susu anda sedikit, jangan besedih, ibu perlu terus komited, positif dan positif dalam penyusuan.

"Selain itu cuba berusaha mencari milk booster dan menjaga pemakanan yang sihat.

"Saya juga kini banyak membaca juga mengenai penyusuan bayi dan sebagainya untuk menambah ilmu keibuan," katanya.

Teks oleh Syafiqah Jalal