Pelakon Fasha Sandha mengakui memerlukan sekurang-kurangnya setahun setengah sebelum berkahwin lagi.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, berkata, dia memerlukan masa untuk anak-anaknya dan akan menamatkan zaman solo sebelum Rayfal, 4, dan Raysha, 3, membesar.

"Buat masa sekarang biarlah saya memberi fokus kepada kerjaya dan penuhi masa dengan anak-anak dahulu.

"Tetapi, apa-apa pun biarlah saya mengenali seseorang itu terlebih dahulu sekurang-kurangnya beri masa satu setengah tahun lagi kepada saya untuk kembali berkahwin semula.

"Biarlah saya berkahwin semula ketika anak-anak masih pada usia kecil lagi kerana mungkin mereka akan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga ini.

"Namun, apa yang saya boleh katakan, perkahwinan tersebut tidak akan terjadi dalam masa terdekat ini,"katanya kepada Astro Gempak.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta Rumah Kebaya, di Bangsar, baru-baru ini.

Terdahulu Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 40, pada 27 April 2012 namun bercerai talak satu pada 20 Januari tahun lalu.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi