Pengacara dan pelakon Neelofa mengesahkan dirinya sedang berkawan dengan seorang kerabat diraja.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, mengakui gosip tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenai status hubungan yang sedang terjalin.

Neelofa lebih selesa mengatakan yang hubungan yang terjalin antara mereka hanya sekadar kawan.

"Saya dan dia memang sedang berkawan. Saya tidak nafikan perkara tersebut. Dia memang seorang sahabat yang baik.

"Berada dalam kedudukan saya sebagai seorang selebriti dan kedudukan dirinya sebagai seorang kerabat, kami tak mudah untuk lari daripada andaian orang lain.

"Saya sendiri sudah bersiap sedia dengan segala andaian orang kerana masing-masing masih solo," kata Neelofa ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Lady Lofa dan Lady Lofa Luxe untuk jenama hijab miliknya, Naelofar sebentar tadi.

Pengacara rancangan MeleTop itu juga merayu agar dirinya tidak ditekan dengan persoalan yang tidak sepatutnya dibangkitkan.

"Saya harap semua pihak dapat memahami kedudukan saya. Bagi saya ruang, saya tak mahu keruhkan keadaan.

"Hancur hati saya apabila membaca atau mendengar komen yang tidak sepatutnya mengenai perkara sebegini.

"Saya pilih perkataan 'berkawan' untuk menjelaskan status hubungan kami. Saya sendiri enggan berkongsi dengan lebih lanjut.

"Anda semua pastinya bijak untuk menilai adakah saya layak atau tidak untuk memberikan komen mengenai hubungan kami," katanya lagi.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal