Bekas bintang program realiti Duo Star, Aweera menceritakan tentang luahan jiwanya terhadap seseorang menerusi single terbaharu, Wanita Cinta Teragung.

Aweera berkata, Wanita Cinta Teragung merupakan single keduanya selepas Terhakis di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia selepas bergerak secara solo.

“Lagu ini menceritakan tentang hati seorang lelaki yang mempunyai perasaan yang mendalam terhadap kekasihnya disamping memohon kepada-NYA agar perhubungan tersebut dijaga sehingga ke akhir hayat.

“Single ini merupakan luahan jiwa saya yang raw kerana pengertiannya yang sangat dalam. Ia menceritakan apa yang saya rasa terhadap wanita yang saya cintai dan sanjungi.

“Biarlah maksudnya hanya saya sahaja yang ketahuinya dan tidak ditujukan pada mana-mana wanita,” katanya kepada Astro Gempak.


Single terbaharu ini merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aweera sendiri dan diterbitkan oleh Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussein.

Sementara itu menurut Taja, dia sangat senang bekerja dengan Aweera kerana mereka sudah lama kenal.

“Saya sangat senang bekerja dengan Aweera kerana kami telah lama berkawan. Saya faham apa yang Aweera mahu dan mudah bagi kami untuk menghasilkan single ini.

“Saya juga sangat berpuas hati dengan pembikinan single terbaru ini,” katanya.

Dalam pada itu pihak Sony Music Entertaiment menerusi kenyataannya kepada media berkata, mereka yakin single terbaharu Aweera ini mampu mengubati hati peminat penyanyi berbakat besar itu.

“Menerusi lirik dan melodi rock yang ditampilkan, kami yakin peminat akan teruja, lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama menantikan lagu terbaharu dari Aweera,” ujar pihak Sony Music.

Wanita Cinta Teragung boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.