Walaupun sudah bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, pelakon Scha Alyahya masih menerima tawaran untuk menjayakan watak sebagai seorang gadis di kaca televisyen.

Terbaru, Scha akan muncul dengan drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen yang bakal ditayangkan bermula malam ini.

“Saya masih menerima tawaran untuk membawakan watak gadis berusia 20-an. Saya menerima sahaja dengan hati terbuka kerana sudah pastinya pihak produksi dan pengarah tahu apa yang mereka mahukan.

“Apa yang penting, saya berusaha sehabis baik untuk menjayakan watak yang diberikan agar karakter yang saya lakonkan memberikan impak dan kesan positif di hati peminat kelak,” kata Scha kepada Astro Gempak.

Berkampung selama tiga bulan di lokasi penggambaran, drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen turut menampilkan pelakon ternama seperti Aiman Hakim Ridza, Randy Pangalila, Shalma Ainaa, Adriana Adnan, Ozlynn dan Ungku Hariz.

“Drama bersiri ini sangat menarik kerana jalan ceritanya merupakan adaptasi novel judul sama karya Areila Sahimi. Setelah tiga bulan berhempas pulas di lokasi penggambaran, akhirnya drama bersiri ini bakal menemui penonton.

“Selain Malaysia, drama bersiri ini juga menjalani penggambaran di Bangkok, Thailand selama 10 hari. Saya tak sabar menantikan reaksi penonton,” katanya ketika ditemui di di majlis pelancaran wangian Scha Alyahya dan Awal Ashaari baru-baru ini.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen yang bakal bersiaran mala mini, bermula 6 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal