Duo Star: Sepatutnya Saya Berduet Dengan Penyanyi Lain - Ernie Zakri

6 Februari 2017. 5.34 PM
18,745
Hiburan
Duo Star: Sepatutnya Saya Berduet Dengan Penyanyi Lain - Ernie Zakri
Penyanyi Ernie Zakri mendedahkan sepatutnya dia berpasangan dan berduet dengan penyanyi lain untuk pertandingan nyanyian Duo Star.

“Pada awalnya, saya memang berminat untuk berpasangan dengan Syamel. Nama Syamel merupakan nama pertama yang terlintas di fikiran saya ketika saya tahu adanya pertandingan Duo Star.

“Namun begitu, pemilihan pasangan belum lagi disahkan oleh pihak produksi. Ada beberapa pertukaran terjadi selepas itu. Sepatutnya saya dipasangkan bersama penyanyi lain, begitu juga Syamel.

“Alhamdulillah, di saat akhir, rezeki berpihak kepada kami dan akhirnya saya dipasangkan dengan Syamel,” kata Ernie kepada Astro Gempak.

Dinobatkan sebagai juara Duo Star sekaligus menewaskan tiga pasangan lain, Ernie menjelaskan yang dirinya tidak begitu mengenali Syamel sebelum pertandingan itu berlagsung.

“Saya tidak begitu kenal dengan Syamel kerana kami tidak pernah berjumpa sebelum ini. Saya hanya tahu Syamel merupakan seorang penyanyi yang bagus menerusi lagu nyanyiannya, Hidup Dalam Mati.

“Alhamdulillah, kami berjaya menempuhi pertandingan Duo Star dan akhirnya dinobatkan sebagai juara. Saya rasa gembira dan bersyukur. Peminat juga menerima keputusan ini dengan bangga dan memberikan reaksi positif.

“Saya berharap agar peminat dapat menyokong kerjaya seni saya bersama Syamel walaupun Duo Star telah tamat. Saya menjadikan Duo Star sebagai pemangkin untuk saya bergerak ke hadapan dan berusaha dengan lebih baik lagi dalam bidang nyanyian,” kata Ernie lagi.

Di konsert akhir, Ernie dan Syamel menyampaikan lagu Balqis nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza dan lagu Kau Lupa Janji nyanyian Datuk Jamal Abdillah.

Duo Star yang bersiaran pada setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria HD (104) dan Ria HD diacarakan oleh Datuk AC Mizal.

Kesemua peserta Duo Star dinilai oleh juri tetap, Datuk Acis, Adibah Noor dan Datuk Hattan. Keputusan pemenang adalah 100 peratus berdasarkan sistem permakahan juri.

Teks oleh: Kamaruddin Razal