Pelakon Scha Alyahya mendedahkan dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada berlakon bersama suaminya, pengacara Awal Ashaari.

Mempunyai perwatakan yang berbeza ketika di set penggambaran, Scha menjelaskan cara kerjanya berbeza dengan Awal.

"Kalau boleh, saya mahu elak untuk berlakon bersama Awal. Sejujurnya, cara kami berbeza. Saya lebih serius di lokasi penggambaran, Awal pula seorang yang lebih sempoi.

"Saya pernah bergandingan dengan Awal dalam beberapa siri iklan, itu pun saya sudah rasa perbezaan yang terjadi. Saya suka mengikut masa yang ditetapkan manakala Awal pula suka mengambil masa tersendiri sebelum mula berlakon.

"Jadi, kami berdua rasakan yang kami perlu elakkan untuk berlakon bersama dalam satu telefilem atau drama bersiri," kata Scha kepada Astro Gempak.

Selektif dalam menjayakan sesebuah watak selepas bergelar ibu, Scha rasa bertuah kerana suami memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Saya akui saya bersikap memilih watak dan melihat kepada jadual penggambaran terlebih dahulu. Saya rasa berat hati untuk menerima tawaran penggambaran yang dilakukan di luar Malaysia pada waktu yang lama.

"Setakat ini, paling lama saya tinggalkan suami dan anak kerana urusan kerja di luar negara adalah selama 10 hari. Awal sangat memahami dan membantu saya untuk menjaga Lara. Saya rasa sangat berterima kasih dan beruntung," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen lakonan Scha bersama Aiman Hakim Ridza dan Randy Pangalila yang bakal bersiaran bermula 6 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal