Selepas video penyanyi era 1980-an, Ben Nathan tular di laman sosial Facebook (FB) baru-baru ini, Presiden Yayasan Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave membawa teman seangkatannya itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan mental.

DJ Dave ditemani anggota keluarga Ben telah membawa penyanyi Stanza Sekeping Hati itu ke HKL kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Menurut laporan Berita Harian Online, Ben akan dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk
doktor memantau tahap kesihatan dan mentalnya selama seminggu.

Ben yang ditemui DJ Dave dan rombongannya di Brickfields di sini, kira-kira jam 11 pagi, dibawa ke HKL menaiki kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipujuk selama 30 minit.

Turut memujuk Ben untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah adiknya yang dikenali sebagai Shanti dan anak buahnya.

DJ Dave berkata, beliau mengambil inisiatif menjejaki Ben selepas selepas berita Ben sering dilihat merayau-rayau tanpa tujuan di ibu negara menjadi viral.




"Selepas dimaklumkan di mana kedudukan Ben, saya meninggalkan mesyuarat di Subang Jaya dan bergegas ke Brickfields.

"Dengan kerjasama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya dinasihatkan membuat laporan polis sebelum berjumpa Ben.

"Walaupun pada mulanya Ben tampak terkejut, dia tidak agresif. Malah, sebaik bertentang mata, dia memanggil nama saya dan mengimbas memori silam," katanya.

DJ Dave berkata, selepas berjaya dipujuk, Ben akur biarpun pada mulanya takut apabila melihat ada anggota polis bersama mereka.

Tambah DJ Dave lagi, keluarga Ben ada memberitahu, penyanyi itu mula dikesan mengalami gangguan perasaan sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, DJ Dave turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan JKM yang memberi maklum balas segera dan kesediaan membantu Ben.

"Kita serahkan kes Ben ini kepada JKM dan agensi berkaitan. Ben mungkin ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.

Terdahulu, isu membabitkan Ben Nathan atau nama sebenarnya, Ben Adam Patmanathan Abdullah kembali menjadi sebutan selepas klip video dimuat naik pemilik Facebook (FB), Mannin Mainthan Malaysia (MMM) meluahkan rasa sedih melihatnya berkeliaran.

Berdasarkan video yang dirakamkan, Ben yang comot dengan pakaian kusut-masai, menerima sampul angpow daripada individu yang merakamkan video berkenaan.

Beberapa tahun kebelakangan ini, bekas penyanyi terbabit dikatakan sering ditemui di kawasan sekitar Pasar Seni, Muzium Negara, Brickfields, Masjid Jamek serta Ampang.

Sumber Berita/Foto: BH Online