Penyanyi Black Hanifah kini sibuk menguruskan lot tanah yang dibeli untuk membina rumah untuk anaknya, Khaleef Dayyan.

"Saya sedang mempersiapkan diri mengumpulkan beberapa aset untuk kesenangan masa hadapan saya dan keluarga.

"Saya sedang sibuk menguruskan lot tanah untuk menjalankan proses pembinaan rumah anak saya. Saya juga mencari beberapa aset untuk kemudahan masa hadapan.

"Selain itu, saya juga menyediakan simpanan pendidikan untuk anak saya. Sejujurnya, saya sendiri rasa kepayahan untuk mendapatkan sebuah rumah untuk anak saya.

"Bayangkan di masa hadapanan nanti, bagaimanakah keadaannya. Semestinya lebih susah. Selagi saya berkemampuan, saya akan membeli dan menyediakan apa yang patut untuk keperluan anak dan keluarga," kata Black.

Dalam pada itu, Black juga menitipkan pesanan untuk penyanyi baru di luar sana agar mempersiapkan diri untuk kesenangan masa hadapan.

"Bintang baru seharusnya mengumpul kesenangan di masa akan datang bermula sekarang. Setiap selebriti patut mempunyai beberapa aset agar tidak kesal di waktu tua nanti.

"Tidak selamanya nama kita berada di atas. Itu merupakan pesan penyanyi lama kepada saya sebagai pengajaran dan peringatan," katanya lagi.

Sumber: Harian Metro
Olahan oleh: Kamaruddin Razal