Bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF2016) Afi dipilih untuk membintangi pementasan teater seram berjudul Riau Sari.

Selain Afi, antara pelakon yang turut terlibat ialah Azizah Mahzan, Xavier Fong dan Carlthiny Adi.

Menurut pengarah teater Anwar Rusdini, 26, pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka untuk menyampaikan mesej dengan baik kepada penonton menerusi lakonan.

“Rakan artis yang terlibat di dalam produksi ini sememangnya rakan-rakan saya dan pada saya mereka merupakan ‘survivor industry’ yang masih utuh dengan menyampaikan mesej penulis skrip kepada penonton.

“Selain bertindak sebagai penarik, aksi pelakon ketika pementasan yang sememangnya bersesuaian dengan teknik lakonan serta pengalaman mereka.

“Naskhah ini sebenarnya tidak sesuai jika diberikan kepada artis-artis lain yang ratanya pada saya belum cukup masak,” katanya.

Mengulas mengenai teater tersebut, Anwar menjelaskan dia mendapat inspirasi untuk naskhah tersebut menerusi filem Thai popular berjudul Nang Nak.

“Saya dapat cetusan idea melalui Nang Nak dan boleh dikatakan naskhah ini merupakan adaptasi daripada lagenda tersebut namun tidaklah sepenuhnya.

“Sedikit sebanyak perubahan dan penambahan telah saya lakukan supaya lebih relevan untuk latar masyarakat melayu di Malaysia.

“Dari segi genre pula, sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya dengan kewujudan alam ghaib.

“Banyak cerita yang kita dengar atau lalui yang melibatkan makhluk atau entiti dari tempat yang tak dapat kita lihat atau fahami dari logik akal.

“Bukan saja melayu, malah seluruh bangsa di nusantara mempunyai kepercayaan mereka sendiri. Saya suka mencampurkan elemen gelap seperti ini dengan elemen indah seperti cinta.

“Pada saya, teater merupakan satu medium ‘escapism’ dan saya suka membawa penontonke satu dimensi baru yang lain dari dunia asal.

“Saya suka bercerita, dan cerita-cerita saya selalunya begitu. Tema yang saya sering bawakan adalah berkenaan Cinta, Kelahiran dan Kematian.

“Saya cuba memaparkan definisi ketiga elemen ini di dalam bentuk yang berlainan pada setiap kerja saya,” jelasnya.

Selain Riau Sari, Anwar juga turut terlibat dalam filem Juvana the Movie, Antidot the series, P.Ramlee The Musical On Tour dan MUD the musical.

Pementasan teater Riau Sari yang dibawakan oleh Peran Tease Production akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) bermula 9 hingga 12 Februari 2016, jam 3 petang dan 8.30 malam.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM45 & RM50. Tempahan dan pembelian tiketboleh dibuat dengan menghubungi 014-2692311 (Kiran) dan 016-3217561 (Meen).