Pengacara dan pelakon Awal Ashaari mendedahkan dia membawa bersama baju anaknya, Lara Alana jika bekerja di luar kawasan.

Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 35, mencium bau baju tersebut sebagai pengubat kerinduan.

"Jika saya perlu bekerja di luar kawasan atau perlu outstation untuk masa yang agak lama, saya akan membawa baju Lara bersama-sama.

"Bagi menghilangkan kerinduan, saya akan mencium bau baju tersebut. Berbeza pula dengan isteri saya, Scha Alyahya, dia akan selalu membuat panggilan video terhadap Lara jika dia perlu bekerja di luar kawasan.

"Scha selalu memantau Lara dan akan membuat panggilan video sekurang-kurangnya tiga kali sehari untuk melihat Lara," kata Awal kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Awal juga berhasrat untuk kembali berlakon setelah sekian lama tidak beraksi di hadapan kamera sebagai seorang aktor.

"Kali terakhir saya muncul di kaca televisyen sebagai seorang pelakon adalah pada tahun 2013. Ketika itu, saya menjayakan drama bersiri Sedetik Cinta bersama Hanez Suraya.

"Selepas drama bersiri tersebut, saya menumpukan perhatian terhadap bidang pengacaraan. Kini, saya sudah mula rasa rindu untuk beraksi sebagai aktor dan merasakan kesibukan untuk menjalani penggambaran, menghafal skrip dan mendalami watak.

"Saya berharap agar ada rezeki tahun 2017 ini untuk saya kembali beraksi sebagai seorang pelakon," katanya lagi ketika ditemui di majlis pelancaran wangian Scha Alyahya dan Awal Ashaari.

Di majlis tersebut, pasangan selebriti itu melancarkan wangian #BleuByAwal dan #MaroonByScha yang boleh didapati dengan harga RM55 setiap satu.

Layari akaun Instagram @schaxawal untuk mendapatkan informarsi lanjut mengenai wangian tersebut.

Teks oleh: Kamaruddin Razal