Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh peminat baru di Indonesia.

Melancarkan lagu Pencuri Hati versi dangdut di Jakarta, Indonesia, Ayda gembira dengan respon yang diterima sepanjang siri promosi lagu ini.

"Saya meletakkan jangkaan orang di Indonesia tidak mengenali saya sebagai seorang penyanyi. Rupa-rupanya, ada yang mengikuti perkembangan kerjaya saya di Indonesia.

"Sebelum ini, lagu Pencuri Hati pernah menjadi lagu runut bunyi tiga buah telefilem di stesen televisyen di sini. Saya merasakan mungkin mereka tidak ingat mengenai perkara tersebut.

"Namun begitu, selepas beberapa siri temuramah di beberapa stesen radio di Jakarta dan Bandung, saya mendapat maklumbalas positif di laman sosial.

"Mereka begitu mengalu-alukan kedatangan saya sebagai seorang penyanyi Malaysia ke Indonesia dan suka mendengar lagu Pencuri Hati," kata Ayda kepada Astro Gempak.

Berkampung selama enam hari di Bandung dan Jakarta, Ayda juga menerima undangan untuk menjadi tetamu untuk sebuah talkshow popular Indonesia, Ini Talkshow yang disiarkan di Net TV.

"Saya gembira kerana diundang ke rancangan tersebut. Reaksi mereka sangat positif dan saya juga menerima sejumlah pengikut baru dari Indonesia di laman sosial.

"Saya berharap agar lagu Pencuri Hati dapat mencuri perhatian peminat di Indonesia dan saya dapat melebarkan sayap kerjaya di negara jiran," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal