Isteri kepada penyanyi dan pelakon Alif Satar telah selemat melahirkan cahaya mata kedua mereka pada 6.45 pagi tadi.

Puteri keduanya itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.41 kilogram oleh isterinya Shadila Halid di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Alif ketika dihubungi memberitahu dia bersyukur dan gembira dengan kelahiran ahli keluarga barunya itu.

"Alhamdulilah saya bersyukur sangat apabila isteri saya selamat melahirkan anak kedua kami. Isteri dan bayi kini berada di dalam keadaan sihat.

"Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika ini, apa yang boleh saya katakan saya amat gembira," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Alif memberitahu dia dan isteri sudah meletakkan nama untuk puterinya itu.

"Kami beri nama Ariana Mecca untuk cahaya mata kedua ini yang mana Ariana membawa maksud penuh dengan kehidupan.

"Manakala Mecca adalah sempena nama tanah suci kerana ketika bayi berusia tujuh bulan dalam kandungan ibunya dan saya berpeluang ke sana mengerjakan umrah.

"Sebenarnya sebelum ini, kami sudah ada nama lain tetapi selepas pulang dari Mekah itu kami bertukar fikiran untuk mengubah namanya sempena nama tanah suci," katanya lagi.

Alif dan Shadila yang berkahwin pada 15 September 2014 dan terdahulu sudah dikurniakan seorang puteri bernama Alisha yang kini berusia 2 tahun.

Teks oleh Syafiqah Jalal