Kumpulan Senario mengakui bahawa kumpulan itu masih wujud dan mereka tidak pernah mengundurkan diri dari dunia hiburan tanah air.

Menurut pelawak Azlee atau Mohd Azlee Jaafar, 50, berkata, ramai beranggapan bahawa kumpulan itu sudah berkubur kerana kewujudan mereka sudah tiada lagi di mana-mana rancangan sejak tidak bersama TV3 kira-kira tiga tahun lalu.

"Sebenarnya kumpulan kami masih wujud dan tidak menghilang dari dunia hiburan.

"Kami sebenarnya masih aktif namun mengakui sejak tidak lagi bersama TV3 kira-kira tiga tahun lalu tawaran yang diterima semakin berkurangan.

"Kumpulan Senario sudah bertapak selama 20 tahun dalam industri namun akibat daripada kekurangan tawaran kami dikatakan sudah berpisah sebenarnya perkara itu tidak betul.

"Senario sebenarnya masih ada seperti yang anda kenal dan kami tidak pernah mengundurkan diri cuma tidak banyak peluang yang kami dapat sejak tidak lagi bersama TV3," katanya.

Azlee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran muzik video SenarioToons nyanyian kumpulan Lawa Nie Gang di Warner Music, baru-baru ini.

Tambah Azlee, mereka juga tidak mempunyai sebarang keberatan sekiranya diminta untuk bekerjasama dengan pelawak baharu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi