Penyanyi Ernie Zakri tidak menggunakan nama penyanyi Ziana dan Anuar Zain untuk meraih populariti.

Mempunyai talian persaudaraan dengan penyanyi popular tersebut, pelantun lagu Jangan Marah ini mahu dikenali atas usahanya sendiri dalam bidang nyanyian.

“Ziana dan Anuar merupakan ibu dan bapa saudara saya. Namun begitu, saya tidak pernah menggunakan nama mereka untuk menempa nama dalam industri nyanyian.

“Saya rasakan biarlah saya bertatih sendiri untuk mencari tapak dalam bidang yang saya cintai ini. Mereka juga melalui jalan yang berliku untuk sampai ke tahap sekarang, jadi biarlah saya merasai pengalaman yang sama walaupun mencabar,” kata Ernie kepada Astro Gempak.

Makin mendapat perhatian selepas menyertai Duo Star bersama Syamel, Ernie bersyukur akhirnya usaha kerasnya selama ini mendapat tempat di hati peminat.

“Selepas memenangi Bintang RTM 2009, saya akui saya mencari tapak untuk menyerlahkan bakat dalam dunia hiburan. Selepas muncul dengan pelbagai single, nama saya masih belum diketahui ramai.

“Syukur kerana single Jangan Marah yang saya keluarkan pada tahun lepas mendapat sambutan yang baik. Kini, orang mula nampak kehadiran saya menerusi Duo Star bersama Syamel. Alhamdulillah, Saya merasakan yang usaha selama lapan tahun membuahkan hasil,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Ernie dan Syamel bersaing untuk menempah tiket ke peringkat akhir Duo Star pada Ahad, jam 9.00 malam ini di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal