Penyanyi Siti Sarah akui terpaksa melupakan niat untuk menambah zuriat kerana mahu memberi tumpuan kepada karier nyanyiannya.

Sarah berkata buat masa ini dia merasakan tiga orang cahaya mata yang ada sudah cukup memberikan kebahagiaan kepada rumahtangganya.

"Setakat ini saya belum terifkir untuk menambah anak dalam keluarga kami. Namun terus-terang saya terpaksa lupakan dahulu untuk memberi tumpuan kepada kerjaya seni saya.

"Saya kini baru sahaja kembali aktif dalam bidang nyanyian, jadi ada baiknya saya memberi tumpuan sepenuhnya.


"Pun begitu saya tak nafikan menguruskan tiga orang cahaya mata pun sudah cukup sibuk.

"Namun jika selepas ini urusan kerjaya saya stabil, kalau ada rezeki anak saya tidak menolak," katanya kepada Astro Gempak.

Pelantun lagu Kesetiaan itu telah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang mana masing-masing berusia 6 tahun, 3 tahun dan 10 bulan.

Mengulas mengenai kerjaya seninya kini, Sarah memberitahu dia kini dalam proses menghasilkan album terbaru.

"Saya kini dalam proses awal menghasilkan album. Saya sedang mengumpul dan memilih lagu-lagu untuk album saya.

"Saya target mahu mengeluarkan enam atau tujuh buah lagu untuk album ini.

"Setakat ini saya sudah menerima banyak lagu dariapda beberapa komposer tetapi belum berjumpa dengan lagu-lagu yang dekat dengan jiwa saya.

"Insya-Allah jika semua berjalan lancar saya akan melancarkan album ini pada April," kata bekas bintang Gegar Vaganza 3 ini lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal