Penyanyi Anuar Zain mengakui dia mempunyai perancangan untuk menghasilkan muzik video untuk setiap single yang dikeluarkan.

Anuar Zain atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 47, berkata, perkara tersebut merupakan perancangan yang dilakukan oleh pihak pengurusannya sebagai langkah untuk melakukan promosi.

"Jika mempunyai permintaan yang tinggi daripada para peminat tidak salah untuk kami keluarkan muzik video untuk setiap single yang baru dikeluarkan.

"Kalau boleh memang saya ingin lakukan video klip untuk setiap lagu yang dikeluarkan kerana ia merupakan sesuatu yang menarik sebenarnya.

"Ia juga merupakan sebagai satu proses untuk melakukan promosi lagu-lagu yang terdapat dalam album," katanya.

Anuar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anuar Zain Album Tour 2017 dan Muzik Video "Cinta Takkan Berakhir", di Le Meridian, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, Anuar berkata, Anuar Zain Album Tour 2017 akan menjalankan promosi di enam rangkaian Mydin seluruh Malaysia iaitu Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan tiga lokasi di Mydin Mall Sarawak pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi