Penyanyi popular Siti Nurhaliza menangis selepas 200 peminatnya membuat kejutan dengan menyanyikan lagu Inspirasi kepadanya.

Kejutan tersebut dilakukan pada hari terakhir perjumpaan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, Pahang.

Siti ketika ditemui berkata, dia sangat terharu dengan sokongan peminat dan kesanggupan peminat yang datang dari seluruh Malaysia termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Setiap tahun mereka pasti akan memberikan sokongan apabila Siti Zone mengadakan perjumpaan. Mereka tidak pernah jemu dan kesungguhan mereka itu buat saya kagum.

“Budi baik mereka tidak boleh saya balas malah tidak terbanding dengan wang ringgit,” katanya terharu.

Bercerita tentang gathering tahun ini yang bertemakan Moh Balik Lepih! Siti memberitahu para peminat yang memilih supaya perjumpaan kali ke-13 tersebut diadakan di kampung halamannya.

“Ramai yang nak datang kampung halaman saya. Saya bersetuju kerana selain mereka dapat melihat sendiri tempat kelahiran saya, mereka juga secara tidak langsung menyokong Tahun Melawat Negeri Pahang 2017,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari dua malam perjumpaan tersebut berlangsung pelbagai aktiviti telah dilakukan iaitu, Sukan Rakyat, persembahan berkumpulan, ‘sightseeing’ sekitar lipis dan cabaran pencarian peminat unggul.

“Saya ingin berterima kasih kepada pengurus saya Kak Rozi kerana telah merealisasikan impian para peminat Siti.

“Tanpa Kak Rozi mungkin semua ini tidak akan berlaku kerana dialah yang telah memainkan peranan sejak awal lagi,” katanya.

Nak lihat aktiviti menarik Gathering Siti Zone Moh Balik Lepih pada hari Jumaat hingga Ahad lepas, jom tengok foto dari @rasafilm.co ini: