Penyanyi Mark Adam mensasarkan seramai 60 pelajar menyertai pusat latihan vokal miliknya iaitu Akademi Suara yang baru dibuka dan dilancarkan semalam.

Mark Adam berkata sasaran itu diletakan bagi sesi pertama Akademi Suara itu bagi menampung perbelanjaan akademi berkenaan.

"Impian untuk membuka pusat latihan vokal ini dah lama kerana sebelum ini pun saya merupakan guru vokal di pusat latihan lain selama lebih 10 tahun.

"Lagipun ini memang minat saya dan saya kumpul duit sudah lama untuk merealisasikan hasrat saya ini.

"Setakat ini sudah ada 12 orang yang mendaftar secara rasmi termasuk Aiman Tino.

"Namun kalau boleh saya target mahu 60 pelajar untuk first batch ini kerana jumlah pelajar itu cukup untuk membayar keseluruhan kos tempat ini," katanya kepada Astro Gempak

Mark ditemui selepas pelancaran Suara Akademi yang berlangsung di Neo Damansara, semalam.

Tenaga pengajar Suara Akademi yang dilantik oleh Mark untuk akademi berkenaan adalah Amir Jahari, Ewal dan Adeep Nahar.

Mark berkata, pemilihan tiga artis tersebut adalah berdasarkan kelayakan mereka daripada pelbagai sudut termasuk pencapaian dalam kerjaya nyanyian.

"Amir Jahari sangat berbakat dan dia mempunyai akademi dalam bidang muzik. Dia mampu untuk mencipta lagu dan menulis lirik.

"Manakala, Ewal pula banyak memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dan dia juga boleh memberi tunjuk ajar cara membuang rasa gemuruh ketika membuat persembahan.

"Sementara, Adeep Nahar pula seorang komposer dari Singapura dan banyak pengalaman dalam bidang muzik dan tulang belakang kepada beberapa penyanyi yang sudah berjaya," katanya lagi.

Suara Akademi mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi seorang pelajar untuk empat sesi latihan selama sebulan.

Teks oleh Syafiqah Jalal