Penerbit Running Man menafikan spekulasi mengatakan pihak produksi sedang merisik pengacara Kang Ho Dong untuk menggantikan tempat Gary.

Wakil saluran SBS telah membuat kenyataan berhubung isu tersebut.

"Dakwaan mengenai pengambilan Kang Ho Dong sebagai anggota Running Man adalah tidak benar," katanya.

Perkara itu juga turut dinafikan oleh pengarah saluran SBS dan juga pencipta Running Man, Nam Seung Yong.

"Berita itu tidak benar! Buat masa ini Running Man akan diteruskan dengan enam anggota asal dan tanpa tambahan ahli baru," ujarnya.

Terdahulu, hal tersebut heboh diperkatakan selepas berita mengenai program tersebut akan diteruskan diumumkan semalam.

Menurut beberapa sumber terdekat, keputusan untuk mengambil Kang Ho Dong sebagai ahli tetap masih lagi berada dalam perbincangan.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Kang Ho Dong masih lagi mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Sumber juga mendedahkan Kang Ho Dong tidak mahu keadaan menjadi kekok sekiranya dia menerima tawaran tersebut kerana sebelum ini dia telah ditawarkan untuk menjadi ahli Running Man ketika program itu dilanda kontroversi.

Olahan : Mya Amri

Sumber : Allkpop / Koreaboo