Pelakon dan pengacara Scha Alyahya mendedahkan dirinya bersedia untuk hamil sekali lagi.
Melahirkan anak sulung, Lara Alana pada tahun 2014, Scha rindu untuk melalui proses kehamilan.

"Sejujurnya, saya rindu untuk mengandung lagi. Saya rasa rindu untuk menempuhi proses kehamilan.

"Walaupun saya menempuhi dugaan mencabar pada trimester pertama kehamilan ketika mengandungkan Lara dahulu, saya berjaya menempuhinya dengan bantuan suami, Awal Ashaari.

"Saya bersedia untuk kembali hamil dan menempuhi proses yang sama sekali lagi," kata Scha kepada Astro Gempak.

Menurut Awal pula, dia dan Scha sememangnya mempunyai perancangan untuk menambah anak.

"Perancangan untuk menambah anak itu memang ada, tetapi saya sendiri tak tahu bila. Jika dahulu, saya mahu menanti sehingga Lara mencecah usia dua tahun, barulah saya memikirkan perancangan untuk menambah anak.

"Namun begitu, selepas melihat sendiri Lara membesar depan mata dan Lara bakal menghampiri usia tiga tahun pada Julai ini, saya sendiri rasakan masih tidak puas untuk melihat proses pembesaran Lara," kata Awal ketika ditemui di majlis pelancaran wangian Scha Alyahya dan Awal Ashaari.



Di majlis tersebut, pasangan selebriti itu melancarkan wangian #BleuByAwal dan #MaroonByScha yang boleh didapati dengan harga RM55 setiap satu.

"Alhamdulillah, ini merupakan buah tangan terbaru kami untuk peminat di luar sana. Saya berharap wangian saya dan Scha akan mendapat sambutan yang memberangsangkan," kata Awal lagi.

Layari akaun Instagram @schaxawal untuk mendapatkan informarsi lanjut mengenai wangian tersebut.

Teks oleh: Kamaruddin Razal