Aktor Zul Ariffin akui dia tidak pernah mengambil pendekatan untuk rapat dengan pelakon wanita di set semata-mata untuk mendapatkan chemistry dalam lakonan.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkata malah sebelum ini dia dan mana-mana pasangan heroin yang berlakon bersama juga tidak melakukan rehearsal sebelum penggambaran.

"Kebiasaannya saya seorang pelakon yang senang hendak mencari chemistry dengan pelakon wanita.

"Cukuplah kami berjumpa ketika skrip reading dan berbual kosong beberapa kali selebihnya saya lebih suka chemistry itu dicipta ketika penggambaran.

"Bagi saya tidak perlu untuk berkepit setiap masa di set untuk mendapatkan chemistry, malah saya lebih suka tidak rehearsal kerana mahukan ekspresi yang natural ketika dilakonan sebenar," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai lakonannya sebagai suami kepada pelakon Elain Daly dalam Permata Hati, Zul memberitahu ia berlangsung dengan mudah.

"Mudah bekerja dengan Elaine kerana dia sudah tahu apa yang patut dia lakukan.

"Jadi saya pun memberi dalam lakonan sebagai watak seorang suami dengan mudah.

"Saya juga menggunakanpendekatan untuk tidak rehearsal sebaliknya hanya mendapatkan reaksi spontan daripadanya. Ia cukup menyeronokkan," katanya lagi

Mengenai perkembangan lain dia juga baharu sahaja selesai penggambaran drama Menanti Februari yang bakal disiarkan pada Mac ini bersama Fathia Latiff.

Teks oleh Syafiqah Jalal