Pelakon hebat Bollywood, Shah Rukh Khan telah menjadi punca kesesakan teruk di sebuah stesen kereta api di Mumbai Central.

Menurut laporan Bollywoodlife, kehadiran bintang Bollywood terkenal Shah Rukh Khan telah menyebabkan orang ramai berpusu-pusu untuk melihatnya dengan lebih dekat.

"Pelakon terkenal itu menjadi perhatian apabila dia muncul di sebuah stesen kereta api di Mumbai Central untuk pulang ke New Delhi dan telah mempromosikan filemnya kepada orang ramai.

"Stesen berkenaan menjadi sesak apabila masing-masing ingin melihat dari dekat bintang terkenal itu dan mengambil gambarnya," kata sumber.

Namun, menerusi sebuah temubual yang dilakukan media India, Shah Rukh Khan berkata, kereta api sentiasa mengingatkan perjalanan kariernya sebagai pelakon.

"Saya masih ingat lagi pertama kali menaiki kereta api ketika datang ke Mumbai untuk memulakan cita-cita saya.

"Perjalanan yang memakan masa selama 17 jam ketika itu membuatkan saya teruja dan pada masa sama takut untuk mumulakan karier saya itu," katanya.

Olahan Oleh: Rozaimi Zubaidi