Membawakan watak bayi lelaki bernama Qalish dalam drama bersiri Sayang Papa Saya Tak, kecomelan yang dimiliki oleh anak saudara kepada aktres Emma Maembong menjadi perhatian.

Bayi comel yang diberi nama Seri Aileen Marissa merupakan anak kepada kakak Emma, aktres Yaya Maembong.

Selepas Yaya berkahwin dengan aktor Wan Raja pada 12 Disember 2014, rumah tangga pasangan tersebut dikurniakan dengan kehadiran Seri Aileen yang lahir pada 4 April 2016.

Mempunyai akaun Instagram sendiri dengan nama @seriaileen, bayi comel ini berjaya mengumpul sebanyak 65,700 pengikut setakat ini.

Menerusi drama bersiri Sayang Papa Saya Tak, Seri Aileen membawakan watak sebagai anak lelaki kepada aktor Hisyam Hamid yang bernama Qalish.

Drama ini mengisahkan watak Farish (Hisyam Hamid) mengahwini Raisya (Emma Maembong) atas desakan ibunya walaupun dia tidak suka pada gadis mata duitan itu kerana anaknya, Qalish (Seri Aileen) terbiar tanpa kasih sayang seorang ibu setelah kematian Kasih (Izara Aishah).

Selain Seri Aileen, Emma, Hisyam dan Izara, drama bersiri terbitan Suhan Movies ini turut menampilkan pelakon ternama lain seperti Luqman Hafidz, Wan Sharmila, Aida Khalida, Eleena Sui, Sweet Qismina dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Sayang Papa Saya Tak yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).



Teks oleh: Kamaruddin Razal