Pelakon yang popular 90an, Edika Yusof akui terpaksa meninggalkan dunia lakonan demi memberi seluruh tumpuan kepada isterinya yang lumpuh separuh badan sejak 12 tahun lalu.

Edika berkata dia bukan sahaja perlu menjaga isterinya malah mengambil tugas sebahagian tanggungjawab isterinya untuk menjaga tiga anaknya.

"Sebenarnya kali terakhir saya berlakon pun 20 tahun yang lalu iaitu menerusi filem Maria Mariana.

"Selepas berkahwin saya berehat dan selepas itu isteri saya jatuh sakit dan mengalami lumpuh separuh badan.

"Dia lumpuh selepas melahirkan anak kami pada 12 tahun yang lalu. Mula dengan demam panas dan terdapat beberapa komplikasi kemudian dia disahkan lumpuh.

"Jadi sejak hari itu, saya lah orang yang sentiasa menguruskannya serta menjaga anak-anak kami.

"Kini anak-anak pula sedang membesar dan sibuk dengan persekolahan," katanya.

Bagaimanapun Edika bakal muncul dalam super telemovie, Permata Hati buat pertama kalinya selepas 20 tahun menyepi.

Edika memberitahu dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana pengarah dan penerbit filem itu iaitu Datuk Seri Shah Rezza, memberi keistimewaan dengan membuat penggambaran mengikut masa kelapangannya.

"Sebenarnya saya teragak-agak untuk terima tawaran daripada Shah Rezza kerana takut menyusahkan dia.

"Yelah saya sibuk urusakan isteri dan anak dan dalam masa yang sama melakukan perniagaan kecil dalam bidang pereka grafik di rumah.

"Tapi disebabkan dia mahu juga saya muncul dalam Permata Hati, dia memberi sokongan dan mengikut masa saya untuk penggambaran berkenaan," katanya lagi.

Permata Hati yang dibintangi bintang utamanya Zul Ariffin dan Elaine Daly itu bakal ditayangkan di Astro First (saluran 480) mulai 26 Januari ini.

Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 13 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 12, dan Fareena Nurulhaq, 13 serta Nazirul Afiq yang berusia 18 tahun iaitu anak hasil perkahwinan terdahulu isterinya.

Teks oleh Syafiqah Jalal