Penyanyi Datuk Awie, Datuk Hattan dan Edry Abd Halim bergabung tenaga untuk mencari pelapis bagi penyanyi rock menerusi program realiti terbaru, Rockanova.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, Rockanova mahu mencungkil bakat dan kebolehan penyanyi yang berpotensi untuk menjadi pelapis muzik rock selain mengangkat martabat muzik tersebut ke peringkat lebih tinggi.

“Kami telah memilih juri yang bukan calang-calang kerana kesemua mereka bakal terlibat secara langsung dengan penerbitan musim ini.

“Berdasarkan pengalaman luas yang mereka miliki, kami pasti barisan juri akan dapat mengenal pasti kebolehan peserta yang akan diserap ke program berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti terbaru Astro, Rockanova bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Awie berkata mereka mahu mencari seorang penyanyi rock yang bukan hanya sekadar pandai menyanyi sebaliknya mempunyai jiwa terhadap muzik berkenaan.

“Menyanyi ini merangkumi semua aspek termasuklah low note dan juga high note, semuanya kena bagus.

“Kami tidak mahu seorang penyanyi yang hanya pandai menyanyikan lagu rock semata-mata tetapi tidak mempunyai jiwa terhadap lagu itu.

“Kalau boleh kami mahukan yang benar-benar meminati muzik rock dan bukannya dibuat-buat. Barulah cara penyampaian lagu itu lebih sempurna. Kita mahu cari pelapis, jadi kena cari yang betul-betul bagus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awie dan Edry akan menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap di mana mereka akan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Manakala Hattan pula dilantik sebagai Guru Vokal dan persembahan yang akan memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta supaya mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pelapis serta saingan kepada penghibur sedia ada.

Ujibakat Rockanova yang dilakukan secara online menerusi Instagram (IG) telah pun bermula pada 23 Januari hingga 12 Februari 2017.

Untuk penyertaan secara online, sila muatnaik video nyanyian ujibakat anda di IG dan hashtag #bakatrockanova.

Penyertaan menerusi Sinar fm pula boleh dilakukan dengan menantikan isyarat memanggil di segmen petang, Santai Sinar setiap Isnin hingga Khamis, bermula jam 3.00 petang pada 23 Januari hingga 12 Februari.

Calon-calon yang dipilih menerusi kedua medium ujibakat ini akan menghadiri sesi ujibakat dengan laluan pantas (fast lane) di lokasi terpilih.

Selain online, ujibakat seterusnya akan diadakan pada 18 dan 19 Februari bertemoat di Anggerik Mall, Shah Alam.